Sabda Rasulullah SAW : "Segala amal itu tergantung niatnya dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maknanya setiap amalan yang ingin kita lakukan perlulah disertakan dengan niat. Pentingnya niat itu untuk elakkan amalan kita menjadi sia-sia.
Didiklah diri kita serta anak-anak kita supaya sentiasa pasang niat kerana Allah dalam memulakan sesuatu perkara. Jom kita lihat pentingnya niat jika ingin berjaya
#1. Niat memberikan kita hala tuju
Kebiasaannya apabila kita bangun dari tidur, kita akan melakukan perkara rutin. Selepas solat Subuh, kita akan bersiap-siap untuk ke tempat kerja ataupun sekolah. Pasanglah niat dan berdoa kepada Allah agar perjalanan serta urusan hari itu akan berjalan dengan baik. Apabila dah pasang niat, kita akan nampak hala tuju kita pada hari tersebut. Hala tuju dah nampak, InsyaAllah kita akan berjaya dengan urusan sepanjang hari.
#2. Niat menguatkan azam dan motivasi
Apabila kita mulakan hari dengan niat, kita akan berazam untuk melakukan yang terbaik pada hari itu. Maka usaha, fokus, tenaga akan ditingkatkan dan kerja juga dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Firman Allah :"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda)dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: 'Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?' Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)".
(Al-Baqarah 2:214)
Walau apapun yang datng, kita terima saja dengan tenang. Kita perlu ingat tiada satupun masalah dalam dunia ini yang tiada penyelesaiannya. Cuma mungkin kadang-kadang masanya sahaja belum tiba.
#3. Niat membuatkan kita bersedia dengan pelbagai kemungkinan
Orang yang telah berniat untuk cemerlang tidak pernah ragu-ragu akan hasil yang akan diperolehinya dan tidak pernah berputus asa daripada mengharap rahmat Allah. Mereka biasanya telah bersdia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mereka juga percaya jalan menuju ke satu destinasi itu ada pelbagai. Jika cara pertama tidak menjadi, dia akan terus ubah perjanannya tanpa rasa terbeban.
#4. Niat menjadikan sesuatu pekerjaan itu satu ibadah
Bagaimana mungkin sesuatu pekerjaan itu menjadi ibadah jika diniatkan selain Allah. Dengan adanya niat yang baik kerana Allah, maka pekerjaan dikira sebagai ibadah. Ia akan menjadi kebajikan dan penuh keberkatan. Yang payah menjadi mudah. Yang jauh menjadi dekat.
Adakah kita selalu memasang niat???
Mulakanlah pelajaran, pekerjaan,urusan jual beli dan apa sahaja urusan dengan niat yang baik, menepati syarak, atas jalan yang diredhai Allah.
InsyaAllah kita akan berjaya.
(Sumber: Anis bil 210)
No comments:
Post a Comment
TQ FOR UR COMMENTS... :-)